Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Imigresen Kanada berkata bahawa negara mereka akan menawarkan status penduduk sementara kepada mereka yang tersangkut akibat sekatan imigresen yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Trump.
"Setiap negara berhak menentukan polisi mereka sendiri. Saya boleh katakan kepada kalian bahawa negara kami akan terus mengamalkan tradisi kami untuk membuka pintu kepada mereka yang mencari perlindungan," kata Ahmed Hussen pada hari Ahad.
Hussen yang dilahirkan di Somalia menambah bahawa Kanada akan memperpanjangkan status tersebut kepada mereka yang terkesan daripada polisi baharu Amerika Syarikat itu. Somalia adalah salah sebuah negara yang tersenarai di dalam sekatan tersebut.
Komen beliau dibuat beberapi hari selepas Trump menandatangani sebuah arahan eksekutif untuk melarang kemasukan rakyat dari beberapa negara Islam ke A.S.
Hussen turut menambah bahawa Kanada tidak akan menambah bilangan pelarian yang akan diterimanya di sebalik khabar angin yang tersebar berikutan komen Trudeau sebelum ini yang mengalu-alukan pelarian ke negara tersebut.
"Kepada mereka yang melarikan diri daripada kekejaman, keganasan dan peperangan, warga Kanada mengalu-alukan kalian tanpa mengambil kira kepercayaan kalian. Kepelbagaian adalah kekuatan kami #Selamat Datang Ke Kanada," baca komen Trudeau di laman akaun Twitter-nya.